Jumaat, 21 Januari 2011

TUJUAN & FAEDAH BERKAHWIN

Manusia dijadikan dari nafsu ( diri ) yang satu, kemudian dijadikan sebagai lelaki dan perempuan. Berpasangan. Prinsip berpasangan adalah prinsip sejagat, semua makhluk itu dijadikan sedemikian oleh Allah Yang Maha Kuasa Berkahwin adalah antara keperluan paling asas hampir semua insan di dunia ini. Itu fitrah kejadian manusia. Kahwin dari segi Islam ialah perjanjian berkongsi hidup yang formal dan mengikat dua insan yang berlawanan jantina lelaki dan wanita. Pasangan ini dinikahkan dengan rasmi. Lantas agama dan masyarakat mengiktiraf kebebasan pasangan ini untuk berkasih sayang dan bercinta mesra sesamanya. Tujuan atau matlamat berkahwin yang paling utama ialah untuk melahirkan anak- anak yang soleh serta ta’at kepada Allah. Anak- anak itu adalah pengganti ibubapa meraka di dunia dan boleh mendoakan kesejahteraan ibubapa mereka di dunia dan akhirat. Berkahwin adalah sunnah Rasulullah s.a.w., baginda telah bersabda yang bermaksud : “ Nikah adalah setengah dari iman, setengah lainnya adalah kesolehan. Tiada alasan bagi mereka yang mengelak nikah, kerana mungkin mereka akan dirahmati dengan lahirnya seorang anak yang menerangi bumi dengan ucapan La ilaha illallah ( Tiada Tuhan melainkan Allah ), dan siapa yang percaya dengan sunnahku maka dia harus bernikah ”Berkahwin itu dipandang mulia dan digalakkan oleh syari’at Islam bagi mengelakkan keruntuhan moral dan tatasusila. Ia bertujuan untuk keharmonian sejagat, bukan hanya untuk keluarga yang berkaitan. Perkahwinan menghala kepada kesopanan serta kebersihan rohani dan jasmani. Dengannya maka keturunan menjadi biak. Manusia tidak boleh hidup bersendirian. Nanti akan terasa amat sunyi dan hidup terasa tidak bermakna. Lelaki tidak akan sanggup untuk hidup meriah tanpa seorang isteri yang mencintainya disampingnya, apatah lagi bagi perempuan. Maka perkahwinan itu adalah satu amalan yang bertujuan untuk menggembirakan hati nurani. Dengan itu hati akan lebih tetap dan rajin untuk beribadah kepada Allah. Matlamat perkahwinan ialah kebahagiaan dunia dan akhirat. Nafsu syahwat akan disalurkan menerusi cara paling terhormat melalui jalan perkahwinan yang diredhai. Malah, nafkah batin ( jima ) itu adalah merupakan ibadah dan mempunyai pahala yang amat banyak jika tahu tertib kesopanannya. Inilah antara perkara- perkara yang perlu difikirkan oleh insan yang belum berkahwin, agar kahwin segera. Agama Islam menggalakkan umatnya bernikah mengikut selayaknya. Dorongan tersebut dinyatakan di dalam Al- Quran serta Hadis. Hanya dengan nikah kahwin seseorang Islam itu mendapat kesempurnaan dalam hidup, mencapai puncak segala kekayaan dan menjadi asas ketenteraman jiwa manusia. Berkahwin itu satu sunnah perjalanan hidup dan ia adalah satu bentuk kesopanan sejak dahulukala. Allah telah memberikan contoh perbuatan rasul- rasul.
“ Sesungguhnya Kami telah mengutuskan beberapa rasul- rasul terdahulu daripada kamu serta Kami perkenankan mereka itu beranak isteri ”. – Surah Ar- Ra’du Ayat 38. Segala pahala ibadah digandakan dengan berkahwin, kerana mempunyai kesanggupan menunaikan suruhan dan menunaikan tanggunjawab terhadap anak isteri sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud :
“ Sembahyang dua raka’at orang yang telah beristeri itu keadaanya lebih utama daripada sembahyang tujuh puluh raka’at orang yang membujang, tidak berkahwin ” Menyalurkan nafsu syahwat kepada jalan yang halal sebagaimana sabda Nabi yang bermaksud :
“ Apabila berkahwin seorang muda itu nescaya menjeritlah syaitan sambil ia berkata alangkah ruginya aku, sesunggunhnya terpeliharalah orang muda ini daripada godaanku ”. Begitulah mengenai tujuan dan faedah berkahwin, merupakan pendorong kepada orang- orang bujang atau orang- orang yang telah lama membujang tetapi ingin berkahwin agar berkahwin, dan yang telah berkahwin agar menyedari matlamat dan faedah mengapa intitusi perkahwinan itu wujud. Ada beberapa orang bujang yang ditemui menyatakan bahawa antara faktor penting mengapa meraka lambat kahwin ialah kerana kurang wang. Orang yang kekurangan wanglah yang sepatutnya cepat berkahwin agar sama- sama dapat mengatur rumahtangga dengan lebih sempurna serta dapat mengurangkan belanja- belanja yang tidak berfaedah atau tidak mendesak. Mudah- mudahan Allah akan menolongnya.

KESIHATAN, PENYAKIT DAN UBAT

Pentingnya kesihatan bagi diri Muslim ialah untuk mewujudkan insan yang bersih jiwa atau hatinya, bersih pemikirannya dan sihat tubuh badannya untuk membolehkan diri mengabdikan diri dengan sepenuhnya kepada Allah.
Kesihatan biasanya diabaikan oleh ramai manusia selama mana dia masih sihat, dan akan menghargai kesihatan hanya ketika telah sakit. Nilai kesihatan itu terletak di mahkota orang yang sakit. Dari segi menjaga kesihatan, Islam menasihatkan agar sederhana dalam makan minum kerana ini adalah antara cara terbaik menjaga kesihatan. Firman Allah Dalam Surah Al- A’raf Ayat 31 yang bermaksud : Makanlah minumlah dan jangan berlebih- lebihan ” Islam menekankan kepentingan pencegahan penyakit kerana pencegahan adalah lebih baik dari segala ubat. Allah s.w.t melarang hambaNya sengaja mendedahkan diri kepada penyakit. Mengenai jenis penyakit, menurut Ibnu Qayyim Al- Jauziy ia terbahagi dua, pertama : penyakit rohani ( penyakit hati ) dan penyakit jasmani ( penyakit tubuh badan ). Dan penyakit rohani ( penyakit hati ) pula terbahagi dua, pertama : penyakit kesamaran dan keraguan dan kedua : penyakit nafsu syahwat dan kesesatan. Penyakit kesamaran dan keraguan itu bermaksud penyakit dalam bentuk keraguan kepada Allah, agama Islam, kesesuaian hukum dan syari’at dan lain- lain sepertinya. Ini dianggap penyakit paling bahaya kerana ia akan menimbulkan penyakit- penyakit lain termasuk penyakit jasmani.
Penyakit nafsu syahwat dan kesesatan itu menurut Ibnu Qayyim ialah penyakit nafsu syahwat untuk berzina. Tapi secara umumnya, penyakit ini terjelma dalam bentuk kecenderungan untuk berzina, berjudi meninggalkan sembanhyang, berhasad dengki, tamak haloba, panjang angan- angan dan sebagainya. Penyakit ini boleh menyebabkan penyakit kegilaan, tekanan jiwa dan lain- lain.
Penyakit jasmani pula banyak jenisnya, tetapi dalam konteks Islam, penyakit- penyakit ini adalah dugaan- dugaan kesabaran dan pesakit yang bersabar atasnya dan berusaha mengubatinya akan diberi ganjaran pahala dan keampunan. Dari segi pencegahan penyakit, terdapat banyak panduan dan nasihat yang telah diajarkan oleh Islam, antaranya : Banyaklah mengingati dan beribadah kepada Allah. Ini adalah merupakan pencegah dan ubat kepada penyakit rohani, dan ia mendatangkan ketenangan jiwa.
Jagalah kebersihan diri. Ini termasuk memotong misai, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, mencuci celah- celah jari, memotong bulu ketiak, memotong bulu ari- ari dan beristinja’. Menurut pendapat pakar perubatan moden, suami yang berkhatan dapat menolong menjauhkan isteri dari mengidap barah rahim. Pesanan Rasulullah mengenai menjaga makan, antaranya ialah: “ Sesiapa yang meminum madu di waktu pagi tiga kali setiap bulan, penyakit merbahaya tidak akan mengenainya ”
Susu adalah antara minuman terbaik. Baginda juga menjauhi dari makan sambil bersandar atau sedang meniarap. Rasulullah melarang tidur selepas makan kerana itu akan mengeraskan hati. Dari segi tidur pula, Rasulullah tidur di awal malam lepas solat Isyak, jaga di awal pertengahan kedua dari malam, ketika bangun itu, Rasulullah bersugi, wudhuk dan solat. Tidur sebentar dan sekali- sekala di waktu tengahari tidak mengapa, kerana Rasulullah pernah melakukannya. Sesetengah Ulama’ berpendapat bahawa tidur di waktu Asar boleh menggangu kewarasan akal.

PENGURUSAN PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA

Ilmu Faraid atau ilmu Pembahagian Harta Pusaka, adalah salah satu cabang ilmu yang penting dalam Islam. Rasulullah s.a.w meletakkan ilmu ini tempat yang sangat tinggi berbanding dangan ilmu - ilmu yang lain. Baginda s.a.w bersabda yang diriwayatkan daripada ' Abdullah bin Amr bin al- 'As yang bermaksud : ilmu itu ada tiga dan daripada tiga itu hanyalah sebagai lebihan sahaja, iaitu ayat Mahkamah ( ayat hukum yang tidak dimansuhkan ), sunnah yang sahih diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w dan ilmu untuk membahagikan harta pusaka yang adil. Sayidina ' Umar al- Khattab r.a pernah menulis surat kepada Abu Musa al- Asy'ari dengan menyebutkan yang bermaksud : Jika kamu bermain - main, maka bermain- mainlah dengan panah dan jika kamu bercakap- cakap, maka bercakap- cakaplah mengenai ilmu Faraid. Sayidina ' Umar r.a berkata yang bermaksud : Pelajarilah ilmu Faraid kerana ia adalah sebahagian daripada agama kamu. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud : Pelajarilah ilmu Faraid, dan ajarkanlah ia kepada orang lain. Sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu dan ia adalah ilmu yang akan dilupakan, dan ia merupakan suatu ilmu yang mula- mula akan dicabut daripada umatku. Rasulullah s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh ' Abdullah bin Mas'ud r.a yang bermaksud : Pelajarilah al- Quran dan ajarkanlah ia kepada manusia dan pelajarilah ilmu Faraid dan ajarkanlah ia kepada manusia. Sesunguhnya akan adalah manusia yang akan digenggam ( diwafatkan ) dan sesunguhnya ilmu tersebut akan digengam ( dicabut ), dan nanti akan timbul fitnah- fitnah, sehingga nanti akan tiba masanya apabila dua orang berselisih mengenai pembahagian harta pusaka, tidak ada orang yang dapat menyelesaikan antara keduanya.

PETUA PANTANG LARANG

Segala apa yang dilakukan mempunyai kesan sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Berbagai petua pantang larang telah diajarkan oleh orang- orang Melayu bagi menjaga kesihatan. Ia bukan bertujuan mengharamkan yang halal tetapi merupakan nasihat hasil pengalaman orang- orang yang lebih dahulu merasa asam garam kehidupan. Jangan amalkan minum air batu. Jangan makan nasi berulamkan air, minum air setelah selesai makan nasi, melainkan ketika tercekik, kesannya sama seperti meminum air batu. Jangan amalkan makan makanan bersifat sejuk atau telah sejuk atau disejukkan. Jauhilah makan makanan yang berlinang kuahnya. Jangan terus minum air selepas makan nasi, minum hanya setelah 2 minit suapan terakhir. Jangan hembus nafas ketika minum, tahan nafas, Jangan minum sekaligus dengan satu nafas, buat tiga nafas atau lebih. Elakkan minum air ketika badan sedang panas, baru selesai berlari atau bekerja keras, berehatlah terlebih dahulu, sejukkan badan, barulah minum air. Jangan amalkan makan kepak ayam daging ( Kandungan lemaknya tinggi ). Jangan makan nasi sejuk, panaskan dulu. Elakkan minum air selepas jam 11 malam walaupun air panas kerana ia melemahkan otot pinggang dan membawa sengal badan. Elakkan dari buang air di tempat air bertakung, carilah tempat yang kering. Jangan buang air kecil sekaligus ketika buang air besar, buang air kecil dahulu, barulah air besar. Jangan buang air kecil di atas tanah atau ketika berendam di dalam air. Jangan biarkan pinggang terhentak dengan kuat kerana boleh mengakibatkan mati pucuk. Jangan cungkil gigi dengan kemuncut ( Tangkai bunga lalang ).

Khamis, 20 Januari 2011

SEBAB- SEBAB MASUK SYURGA

Syarat pertama : Islam

Islam adalah syarat pertama yang mesti dipenuhi dalam amal ibadah yang dapat diterima di sisi Allah, kerana Islam adalah agama yang dipilih Allah sampai pada hari Kiamat kelak, Islam adalah agama yang menghapuskan sekalian ajaran agama- agama terdahulu, sepertimana firman Allah s.w.t, yang bermaksud : “ Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam ” ( Al- Imran ayat 19 ) Dan firman Allah yang bermaksud : “ Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali- kali tidaklah akan diterima ( agama itu ) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang- orang yang rugi ” ( Al- Imran ayat 85 )

Syarat kedua : Ikhlas

Ia adalah syarat yang wajib dimiliki dalam setiap amal ibadah sehingga amalan tersebut dapat diterima di sisi Allah s.w.t, dan keikhlasan beribadah tersebut mesti untuk Allah semata- mata, atau dengan lain perkataan bahawa orang yang melakukan suatu amal perbuatan hendaklah bermaksud untuk mencari keredhaan Allah s.w.t dan tidak mempersekutukannya dengan makhluk- makluk yang lainnya. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : “ Pahala mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam ( menjalankan ) agama dengan lurus ” ( Al- bayyinah ayat 5 ) Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “ Sesungguhnya Allah tidak menerima suatu amalan melainkan amalan yang ikhlas dan mencari keredhaan Allah s.w.t. ”

Syarat ketiga Mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w.

Setiap amal perbuatan yang tidak diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah s.a.w. adalah amalan yang tidak diterima oleh Allah s.w.t.