Jumaat, 21 Januari 2011

KESIHATAN, PENYAKIT DAN UBAT

Pentingnya kesihatan bagi diri Muslim ialah untuk mewujudkan insan yang bersih jiwa atau hatinya, bersih pemikirannya dan sihat tubuh badannya untuk membolehkan diri mengabdikan diri dengan sepenuhnya kepada Allah.
Kesihatan biasanya diabaikan oleh ramai manusia selama mana dia masih sihat, dan akan menghargai kesihatan hanya ketika telah sakit. Nilai kesihatan itu terletak di mahkota orang yang sakit. Dari segi menjaga kesihatan, Islam menasihatkan agar sederhana dalam makan minum kerana ini adalah antara cara terbaik menjaga kesihatan. Firman Allah Dalam Surah Al- A’raf Ayat 31 yang bermaksud : Makanlah minumlah dan jangan berlebih- lebihan ” Islam menekankan kepentingan pencegahan penyakit kerana pencegahan adalah lebih baik dari segala ubat. Allah s.w.t melarang hambaNya sengaja mendedahkan diri kepada penyakit. Mengenai jenis penyakit, menurut Ibnu Qayyim Al- Jauziy ia terbahagi dua, pertama : penyakit rohani ( penyakit hati ) dan penyakit jasmani ( penyakit tubuh badan ). Dan penyakit rohani ( penyakit hati ) pula terbahagi dua, pertama : penyakit kesamaran dan keraguan dan kedua : penyakit nafsu syahwat dan kesesatan. Penyakit kesamaran dan keraguan itu bermaksud penyakit dalam bentuk keraguan kepada Allah, agama Islam, kesesuaian hukum dan syari’at dan lain- lain sepertinya. Ini dianggap penyakit paling bahaya kerana ia akan menimbulkan penyakit- penyakit lain termasuk penyakit jasmani.
Penyakit nafsu syahwat dan kesesatan itu menurut Ibnu Qayyim ialah penyakit nafsu syahwat untuk berzina. Tapi secara umumnya, penyakit ini terjelma dalam bentuk kecenderungan untuk berzina, berjudi meninggalkan sembanhyang, berhasad dengki, tamak haloba, panjang angan- angan dan sebagainya. Penyakit ini boleh menyebabkan penyakit kegilaan, tekanan jiwa dan lain- lain.
Penyakit jasmani pula banyak jenisnya, tetapi dalam konteks Islam, penyakit- penyakit ini adalah dugaan- dugaan kesabaran dan pesakit yang bersabar atasnya dan berusaha mengubatinya akan diberi ganjaran pahala dan keampunan. Dari segi pencegahan penyakit, terdapat banyak panduan dan nasihat yang telah diajarkan oleh Islam, antaranya : Banyaklah mengingati dan beribadah kepada Allah. Ini adalah merupakan pencegah dan ubat kepada penyakit rohani, dan ia mendatangkan ketenangan jiwa.
Jagalah kebersihan diri. Ini termasuk memotong misai, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, mencuci celah- celah jari, memotong bulu ketiak, memotong bulu ari- ari dan beristinja’. Menurut pendapat pakar perubatan moden, suami yang berkhatan dapat menolong menjauhkan isteri dari mengidap barah rahim. Pesanan Rasulullah mengenai menjaga makan, antaranya ialah: “ Sesiapa yang meminum madu di waktu pagi tiga kali setiap bulan, penyakit merbahaya tidak akan mengenainya ”
Susu adalah antara minuman terbaik. Baginda juga menjauhi dari makan sambil bersandar atau sedang meniarap. Rasulullah melarang tidur selepas makan kerana itu akan mengeraskan hati. Dari segi tidur pula, Rasulullah tidur di awal malam lepas solat Isyak, jaga di awal pertengahan kedua dari malam, ketika bangun itu, Rasulullah bersugi, wudhuk dan solat. Tidur sebentar dan sekali- sekala di waktu tengahari tidak mengapa, kerana Rasulullah pernah melakukannya. Sesetengah Ulama’ berpendapat bahawa tidur di waktu Asar boleh menggangu kewarasan akal.

Tiada ulasan: