Jumaat, 21 Januari 2011

TUJUAN & FAEDAH BERKAHWIN

Manusia dijadikan dari nafsu ( diri ) yang satu, kemudian dijadikan sebagai lelaki dan perempuan. Berpasangan. Prinsip berpasangan adalah prinsip sejagat, semua makhluk itu dijadikan sedemikian oleh Allah Yang Maha Kuasa Berkahwin adalah antara keperluan paling asas hampir semua insan di dunia ini. Itu fitrah kejadian manusia. Kahwin dari segi Islam ialah perjanjian berkongsi hidup yang formal dan mengikat dua insan yang berlawanan jantina lelaki dan wanita. Pasangan ini dinikahkan dengan rasmi. Lantas agama dan masyarakat mengiktiraf kebebasan pasangan ini untuk berkasih sayang dan bercinta mesra sesamanya. Tujuan atau matlamat berkahwin yang paling utama ialah untuk melahirkan anak- anak yang soleh serta ta’at kepada Allah. Anak- anak itu adalah pengganti ibubapa meraka di dunia dan boleh mendoakan kesejahteraan ibubapa mereka di dunia dan akhirat. Berkahwin adalah sunnah Rasulullah s.a.w., baginda telah bersabda yang bermaksud : “ Nikah adalah setengah dari iman, setengah lainnya adalah kesolehan. Tiada alasan bagi mereka yang mengelak nikah, kerana mungkin mereka akan dirahmati dengan lahirnya seorang anak yang menerangi bumi dengan ucapan La ilaha illallah ( Tiada Tuhan melainkan Allah ), dan siapa yang percaya dengan sunnahku maka dia harus bernikah ”Berkahwin itu dipandang mulia dan digalakkan oleh syari’at Islam bagi mengelakkan keruntuhan moral dan tatasusila. Ia bertujuan untuk keharmonian sejagat, bukan hanya untuk keluarga yang berkaitan. Perkahwinan menghala kepada kesopanan serta kebersihan rohani dan jasmani. Dengannya maka keturunan menjadi biak. Manusia tidak boleh hidup bersendirian. Nanti akan terasa amat sunyi dan hidup terasa tidak bermakna. Lelaki tidak akan sanggup untuk hidup meriah tanpa seorang isteri yang mencintainya disampingnya, apatah lagi bagi perempuan. Maka perkahwinan itu adalah satu amalan yang bertujuan untuk menggembirakan hati nurani. Dengan itu hati akan lebih tetap dan rajin untuk beribadah kepada Allah. Matlamat perkahwinan ialah kebahagiaan dunia dan akhirat. Nafsu syahwat akan disalurkan menerusi cara paling terhormat melalui jalan perkahwinan yang diredhai. Malah, nafkah batin ( jima ) itu adalah merupakan ibadah dan mempunyai pahala yang amat banyak jika tahu tertib kesopanannya. Inilah antara perkara- perkara yang perlu difikirkan oleh insan yang belum berkahwin, agar kahwin segera. Agama Islam menggalakkan umatnya bernikah mengikut selayaknya. Dorongan tersebut dinyatakan di dalam Al- Quran serta Hadis. Hanya dengan nikah kahwin seseorang Islam itu mendapat kesempurnaan dalam hidup, mencapai puncak segala kekayaan dan menjadi asas ketenteraman jiwa manusia. Berkahwin itu satu sunnah perjalanan hidup dan ia adalah satu bentuk kesopanan sejak dahulukala. Allah telah memberikan contoh perbuatan rasul- rasul.
“ Sesungguhnya Kami telah mengutuskan beberapa rasul- rasul terdahulu daripada kamu serta Kami perkenankan mereka itu beranak isteri ”. – Surah Ar- Ra’du Ayat 38. Segala pahala ibadah digandakan dengan berkahwin, kerana mempunyai kesanggupan menunaikan suruhan dan menunaikan tanggunjawab terhadap anak isteri sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud :
“ Sembahyang dua raka’at orang yang telah beristeri itu keadaanya lebih utama daripada sembahyang tujuh puluh raka’at orang yang membujang, tidak berkahwin ” Menyalurkan nafsu syahwat kepada jalan yang halal sebagaimana sabda Nabi yang bermaksud :
“ Apabila berkahwin seorang muda itu nescaya menjeritlah syaitan sambil ia berkata alangkah ruginya aku, sesunggunhnya terpeliharalah orang muda ini daripada godaanku ”. Begitulah mengenai tujuan dan faedah berkahwin, merupakan pendorong kepada orang- orang bujang atau orang- orang yang telah lama membujang tetapi ingin berkahwin agar berkahwin, dan yang telah berkahwin agar menyedari matlamat dan faedah mengapa intitusi perkahwinan itu wujud. Ada beberapa orang bujang yang ditemui menyatakan bahawa antara faktor penting mengapa meraka lambat kahwin ialah kerana kurang wang. Orang yang kekurangan wanglah yang sepatutnya cepat berkahwin agar sama- sama dapat mengatur rumahtangga dengan lebih sempurna serta dapat mengurangkan belanja- belanja yang tidak berfaedah atau tidak mendesak. Mudah- mudahan Allah akan menolongnya.

Tiada ulasan: